Thursday, March 26, 2009

Empat Wanita Mulia di Sisi Allah

Sejarah telah mencatat beberapa nama wanita dimuliakan Allah SWT dengan syurga, dan di antara mereka ada pula yang dihinakan Allah SWT dengan neraka. Sabda Rasullullah SAW, "Seutama-utama wanita ahli syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiyah binti Muzahim."


1. Khadijah binti Khuwailid

Lahir dalam sebuah keluarga terhormat dan mendapat didikan akhlak yg mulia, sifat yang tegas, mampu menghindari hal-hal yang tidak terpuji sehingga kaumnya pada masa jahiliah menyebutnya dengan At-Thahirah (wanita yg suci).

Merupakan orang pertama yang menyambut seruan iman yang dibawa Muhammad SAW tanpa banyak berdebat, bahkan dia tetap membenarkan, menghibur, dan membela Rasullullah SAW di saat semua orang mendustakan dan memulaukan baginda.

Khadijah telah mengorbankan seluruh hidupnya, jiwa dan hartanya untuk kepentingan dakwah di jalan Allah SWT. Beliau rela melepaskan kedudukannya yang terhormat di kalangan bangsanya dan turut merasakan tekanan yg dikenakan pada keluarganya. Peribadinya yang tenang membuatkan beliau tidak tergesa-gesa dalam mengambil keputusan mengikuti pendapat penduduk negerinya yang menganggap Muhammad SAW sebagai org yang telah merosakkan tradisi luhur bangsanya.

Kerana keteguhan hati istiqamahnya dalam beriman inilah Allah SWT menitip salamNya melalui Jibril untuk Khadijah dan menyiapkan rumah baginya di syurga. Jibril datang kepada Muhammad SAW, kemudian berkata, "Wahai Rasullullah ini Khadijah datang membawa bejana berisi lauk-pauk, minuman dan makanan. Maka ia telah tiba, sampaikan salamnya dari Rabbnya dan dari Aku, dan sampaikan khabar gembira untuknya dengan sebuah rumah dari mutiara di syurga, tidak ada kesesakan di dalamnya dan tidak ada pula kepayahan." (H.R Al- Bukhari).

Besarnya keimanan dan kemuliaan akhlak Khadijah sangat membekas di hati Rasullullah SAW sehingga baginda selalu menyebut-nyebut kebaikannya walaupun Khadijah telah wafat.

Diriwayatkan dari Aisyah RA, beliau berkata, "Rasullullah hampir tidak pernah ke luar rumah sehingga beliau menyebut-nyebut kebaikannya tentang Khadijah dan memujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu maka aku berkata, "Bukankah ia seorang wanita tua yang Allah gantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau?” Maka beliau marah sampai berkerut dahinya kemudian bersabda, "Tidak, demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh ia telah beriman di saat manusia lain mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengurniakan anak padaku tidak dengan wanita (isteri) yang lain.” Aisyah berkata, "Maka aku berjanji untuk tidak menjelek-jelekkannya selama-lamanya."


2. Fatimah binti Muhammad (Fatimah Az-Zahra)

Fatimah binti Muhammad adalah belahan jiwa Rasullullah SAW, puteri wanita yang sempurna sifatnya dan kukuh agamanya. Isteri kepada ahli syurga iaitu Ali bin Abi Talib RA.

Dalam sahih Muslim menyebut menurut syarahan Nawawi, Rasullullah SAW bersabda, "Fatimah merupakan belahan diriku. Siapa yg menyakitinya, bererti menyakitiku."

Fatimah rela hidup dalam kefakiran untuk mengecap manisnya iman bersama ayah dan suami tercinta. Rela korbankan segala apa yang dimiliki demi membantu menegakkan agama suaminya. Fatimah adalah wanita yang penyabar, taat beragama, baik perangainya, cepat puas dan suka bersyukur.


3. Maryam binti Imran

Maryam binti Imran merupakan salah seorang wanita terbaik yang pernah diciptakan oleh Allah SWT. Dia adalah keturunan keluarga Imran, salah satu keluarga terbaik yang pernah ada dalam sejarah kehidupan manusia.

Maryam merupakan lambang wanita yang menjaga kehormatan dirinya ,taat beribadah kepada Rabbnya dan rela mengorbankan masa remajanya untuk bermunajat mendekatkan diri kepada Allah, sehingga Allah memberinya hadiah istimewa seorang nabi dari rahimnya tanpa bapa.

Penghargaan tertinggi yang diberikan oleh Allah adalah ketika nama Maryam diabadikan dalam salah satu surat Al-Quran. Kisahnya pun banyak kita temui dalam ayat-ayat Al-Quran. Bahkan, Rasulullah SAW pernah menyebutkan Maryam dalam golongan Muslimah terbaik yang masuk surga.


4. Asiyah binti Muzahim (ratu syahadah)

Asiyah binti Muzahim adalah isteri dari seorang penguasa yang zalim iaitu Firaun laknatullah alaih. Akibat dari keimanan Asiyah kepada kerasulan nabi Musa AS, dia harus rela menerima seksaan pedih dari suaminya. Betapa pun besar kecintaan dan kepatuhannya pada suami ternyata di hatinya masih tersedia tempat tertinggi yang diisi dengan cinta pada Allah SWT dan RasulNya. Syurga menjadi tujuan akhirnya sehingga kesulitan dan kepedihan yang dirasakan di dunia akibat meninggalkan kemewahan hidup, budaya dan tradisi yang menyimpang dari syariat Allah SWT, ditelan begitu sahaja demi kesenangan abadi. Akhirnya, Asiyah meninggal dunia dalam keadaan tersenyum meskipun dalam seksaan pengikut Firaun.

Namanya terukir di dalam Al Qur'an. Allah SWT memberikan penghormatan kepadanya kerana ketakwaan dan kesolehannya. Allah SWT menjadikannya sebagai contoh bagi kaum hawa yang tetap tegak dalam keyakinan tauhid walaupun berada di tengah-tengah lingkungan yang penuh dengan dosa dan kemusyrikan. Allah SWT juga menjadikannya sebagai contoh bagi isteri yang sabar,iaitu isteri memberikan jasa sangat besar dalam memelihara keutuhan rumah tangga, kebahagiaan suami dan kegembiraan anak-anaknya.

Dari Abu Hurairah, Rasullullah SAW bersabda, "Firaun memukulkan kedua tangan dan kaki Asiyah dalam keadaan terikat. Maka ketika Firaun dan pengikutnya meninggalkan Asiyah, malaikat menaunginya lalu ia berkata, "Ya Rabb, bangunkan sebuah rumah bagiku di sisiMu dalam syurga. Maka Allah perlihatkan rumah yang telah disediakan untuknya di syurga sebelum dia meninggal."


Semua wanita ini adalah yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Isteri kesayangan baginda, Khadijah RA bersama belahan jiwa baginda, puterinya, Fatimah wajar sekali diangkat menjadi antara wanita yang mendapat kemuliaan oleh Allah SWT kerana mereka adalah tulang belakang Rasullullah SAW. Manakala, isteri Firaun diumpamakan sebagai orang yang beriman ketika dia berkata, "Ya tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanku dari Firaun dan perbuatannya, dan selamatkan aku dari kaum yang zalim." Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Allah tiupkan sebahagian dari roh (ciptaan) Nya, dan dia membenarkan kalimat-kalimat tuhannya dan kitab-kitabnya dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

::Semoga kisah para wanita ini dapat dijadikan pengajaran bagi wanita zaman ini. Dari kisah mereka, kita juga boleh mengambil iktibar bahawa dalam keadaan bagaimanapun, kita harus tunduk kepada syariat Allah SWT dan RasulNya. Asalkan berada di atas kebenaran, kita tidak perlu takut dibenci oleh masyarakat, sahabat mahupun orang yang paling istimewa di hati kita.

Justeru kewajipan kita adalah menunjukkan yang benar terhadap mereka. Dengan begitu kita akan mendapatkan cinta sejati. Cinta Allah Rabbul Alamin. ::




Original message :dipetik drpd majalah NUR

@>->---

0 comments:

Post a Comment