Tuesday, December 8, 2009

Serikandi Yang Berani.. Khaulah binti Azur


Peranan wanita dalam menegakkan agama Allah SWT tidak terbatas kepada aktiviti dalam rumah sahaja. Bilamana tugas asasnya sudah selesai, wanita boleh berjuang ke tengah masyarakat dalam apa jua bidang yang dia mampu asalkan dia tidak melanggar hukum syariat. Ini jelas dipaparkan oleh serikandi Islam yang berani ; Khaulah binti Azur.

Khaulah memiliki kekuatan jiwa dan fizikal yang kuat. Susuk tubuhnya tinggi lampai lagi tegap. Dia sejak kecil sudah pandai menunggang kuda dengan cekap serta bermain pedang dan tombak. Rasulullah s.a.w. membenarkan Khaulah menyertai angkatan peperangan tentera muslimin bersama-sama beberapa orang lagi serikandi yang sepertinya.

Khaulah telah menggemparkan angkatan tentera muslimin dalam peperangan menentang kaum kafir Rom. Khaulah dengan pakaian serba hitam yang menyelubungi seluruh tubuhnya telah meluncur dengan kudanya dari belakang ke tengah medan peperangan. Dengan sekilas hayunan pedang sahaja, tiga musuh jatuh menyembah bumi. Khaulah terus menerkam musuh-musuhnya seperti singa lapar. Satu demi satu tumbang dan Khaulah terus mara.

Panglima tentera Khalid Ibnu Al-Walid serta seluruh angkatan perang tercengang melihat ketangkasan Khaulah. Mereka tertanya-tanya siapakah pejuang tersebut kerana hanya dua biji matanya sahaja yang kelihatan. Apabila diketahui mereka bahawa pejuang misteri tersebut adalah Khaulah, mereka merasa tercabar dan dengan itu telah membakar lagi semangat jihad mereka. Tentera muslimin seluruhnya terus menggempur musuh yang bilangan mereka berlipat kali ganda hinggalah mereka meraih kemenangan mutlak.

Sesungguhnya Khaulah telah memainkan peranan utama dalam memberi kemenangan kepada pihak Islam. Keberanian Khaulah sekali lagi terbukti apabila dia dan beberapa serikandi yang lain ditawan dalam peperangan Sahura. Mereka dikurung selama beberapa hari serta dikawal rapi. Walaupun nampak mustahil untuk melepaskan diri, Khaulah yang jiwanya sentiasa hidup tidak mahu menyerah kalah. Lantas diapun mengeluarkan kata-kata semangat kepada rakan-rakannya.

"Wahai sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di jalan Allah… Apakah kalian semua sanggup menjadi tukang-tukang picit orang Rom? Apakah kalian semua juga sanggup menjadi hamba-hamba orang kafir yang dilaknati itu? Relakah kalian nanti dihina dan dicaci-maki oleh bangsa Rom yang durjana itu? Dimanakah letaknya harga diri kalian sebagai wanita muslim? Dimanakah keberanian diri kalian sebagai seorang pejuang yang rindukan Syurga Allah? Dimanakah letaknya kehormatan diri kalian sebagai seorang Islam yang bertakwa? Sesungguhnya mati itu lebih baik bagi kita semua daripada menjadi hamba-hamba orang Rom!!"

Khaulah terus menerus membakar semangat rakan-rakannya. Akhirnya mereka semua sepakat dan bulat hati untuk menentang pengawal-pengawal yang menjaga mereka. Khaulah dan rakan-rakannya bersedia untuk mati syahid sekiranya mereka gagal untuk melepaskan diri. Mereka semua bertaubat sungguh-sungguh dan berdoa agar Allah mendatangkan bantuan. Khaulah memimpin segala urusan dalam pekerjaan berat itu. Dia menyandang tiga tiang kayu, siap untuk berjuang. Sebelum itu dia memberi taklimat kepada rakan-rakannya :

" Wahai saudaraku, jangan sekali-kali gentar dan takut. Kita semua harus bersatu dalam perjuangan ini dan jangan ada yang terkecuali. Patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, baca takbir banyak-banyak dan yang penting ialah kalian mesti kuatkan hati. Insya-Allah, pertolongan Allah sudah dekat."

Berkat keyakinan mereka kepada Allah, pengawal-pengawal Rom tadi telah berjaya mereka kalahkan. Mereka berjaya melepaskan diri dan kembali kepada pasukan Islam dengan selamat. Khaulah dan rakan-rakannya disambut dengan penuh bangga kerana keberanian mereka. Mereka adalah serikandi yang berani, tidak hanya menanti untuk diselamatkan.

Begitulah sikap serikandi yang solehah. Penggantungan mereka kepada Allah sangat kuat. Walaupun cabaran besar terpaksa dihadapi, mereka yakin dengan Maha Kuasanya Allah ; kalau mereka bantu agama Allah, Allah pasti akan membantu mereka.