Tuesday, February 17, 2009

w a n i t a


Oleh : Ustaz Shamsul

Mengapakah wanita diciptakan? Bagi menjawabnya kita kena lihat sejarah penciptaan Hawa, ketika Nabi Adam a.s tinggal di syurga, baginda menyaksikan setiap benda mempunyai pasangannya yang tersediri. Unggas dan burung mempunyai teman, sedangkan baginda tidak mempunyai teman dan hidup bersendirian. Dari itu timbullah keinginan pada diri Nabi Adam untuk berteman. Kemudian Allah jadikan Hawa daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam. Tujuan Hawa dijadikan adalah untuk menjadi teman berhibur kepada Nabi Adam a.s di syurga sebagaimana firman Allah bermaksud :

"Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya.Dia menciptakan isteri agar kamu berasa senang kepadanya."

Itulah sebenarnya fungsi makhluk perempuan itu diciptakan iaitu untuk memberikan kesenangan pada kaum Adam. Untuk tujuan itu Allah cipta khas bentuk fizikal Hawa berlainan daripada Adam. Supaya antara satu sama lain saling lengkap melengkapi. Dan masing-masing mempunyai tugas mengikut fitrah dan bentuk fizikal yang Allah jadikan . Walaupun tugas wanita boleh berbagai-bagai tetapi tugas asasi wanita itu diciptakan untuk memenuhi kehendak lelaki.

Wanita diperlukan oleh lelaki untuk menunaikan fitrahnya secara biologi. Nafsu kelamin bukanlah satu perkara yang kecil. Untuk tujuan itu lelaki sanggup menghabiskan beribu ringgit untuk berkahwin, bagi mendapatkan wanita sebagai isteri secara halal. Lelaki tidak seperti wanita, lelaki tidak pernah cicir air liur jikalau tidak mendapatkan pakaian yang indah-indah, pinggan mangkuk yang mahal, kek yang bertingkat-tingkat, apalagi perhiasan intan dan berlian. Orang lelaki tidak tertarik kepada semua itu. Tetapi apabila bertembung dengan wanita yang cantik, yang dedah aurat, yang manja, yang peramah, dosa sudah menjadi satu perkara yang kecil. Untuk tujuan itu lelaki sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit asalkan dapat mencapai matlamatnya.

Lelaki yang tipis imannya, bila sudah teransang tidak kira lagi halal dan haram, dosa atau pahala, akan mencari jalan untuk melepaskan keinginannya kepada wanita tidak kira apa cara sekalipun. Kerana itu setiap hari banyak kita dapati berita tentang perogolan dan kes zina. Dalam hal ini kedua-dua pihak bersalah. Tetapi dalam membicarakan hal wanita ini, kita perlulah melihat daripada kesilapan wanita di dalam hal ini. Ada yang tidak bersetuju wanita dipersalahkan di dalam kes ini. Kononnya wanita yang dirogol itu berpakaian sopan, dikatakan juga bukan wanita muda sahaja yang kena rogol tetapi budak-budak dan orang tua jua dirogol.

Bagi menjawab hal tersebut kita perlu tanya diri kita tentang kefahaman kita tentang bentuk pakaian yang telah digariskan oleh Islam. Sejauh mana ukuran kesopanan pakaian yang dikatakan itu? Kalau ikut orang Melayu, pakai baju kurung itu sopan, pakai baju kebaya pun dikira sopan. Tetapi adakah pakaian tersebut dikira sopan mengikut kacamata syariat? Pakaian yang diiktiraf oleh wanita mukmin yang boleh menyelamatkannya dari mata keranjang lelaki ialah yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Pakaian itu mestilah dari warna yang gelap misalnya kelabu, coklat, hitam, longgar dan tidak menampakkan bentuk badan. Pakaian itu dapat menutup kecantikan wanita.

Bahagian yang wajib ditutup ialah seluruh badannya kecuali muka dan tapak tangan. Perintah ini diwajibkan oleh Allah di dalam al Quran :

"Dan janganlah mereka (kaum wanita) itu menampakkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutupnya dengan kain kerudung dadanya." ( an Nur : 31 )

Yang dimaksudkan zahir itu ialah muka dan tapak tangan. Demikianlah riwayat yang paling sohih di kalangan hadis Nabi s.a.w . Bukan aurat sahaja yang diperintahkan untuk ditutup, malah perhiasan yang boleh didengar pun diperintahkan oleh Allah untuk disembunyikan seperti gelang, rantai atau gelang kaki yang biasa dipakai yang bila dihentakkan ia akan berbunyi, sebagaimana diterangkan di dalam al Quran :

"Dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka agar diketahui (didengar) apa yang mereka sembunyikan, iaitu perhiasan mereka (gelang kaki), dan taubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya beruntung mendapat kejayaan." ( an Nur : 31 )

Dari ayat tersebut kita dapat fahami bahawa gelang kaki pun termasuk ke dalam perhiasan yang dilarang untuk didengar bunyinya, apalagi menampakkannya. Hal ini adalah sebagai hikmah untuk wanita-wanita yang beriman itu agar tidak diganggu oleh lelaki. Hal ini tersebut di dalam
firman Allah :

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." ( al Ahzab : 59 )

Aurat ertinya sesuatu atau sebahagian anggota tubuh manusia yang malu apabila dilihat oleh orang. Untuk menutupnya sangat ringan, sebab di bantu oleh rasa malu dan kemanusiaan. Di dalam Surah an Nur, ayat 31 dan al Ahzab ayat 59 di atas yang mengandungi undang-undang yang pokok terlarangnya bagi sesiapapun membuka auratnya dan juga perhiasannya serta terlarang pula bagi melihatnya bagi yang bukan muhrim Bagi mereka yang tidak termasuk ke dalam golongan yang dikecualikan, tentunya berlaku larangan itu dan wajib mentaatinya.

Tiap-tiap larangan hukumnya haram. Dan sesuatu larangan tidak dapat diertikan makruh bila ada keterangan lain yang meringankan larangan termaksud sehingga menjadi larangan yang tidak keras (makruh). Ada pun mengenai larangan dalam ayat di atas, tidak ditemukan keterangan-keterangan lain yang memberikan keringanan atau kemudahan. Jadi kedudukannya tetap merupakan larangan yang keras yang istilahnya haram. Patut pula diperhatikan bahawa di dalam ayat-ayat tersebut terdapat dua macam perintah iaitu :

a) Bagi kaum wanita untuk menutupi aurat dan perhiasannya.
b) Bagi lelaki iaitu untuk menundukkan pandangannya terhadap wanita yang bukan muhrim, sekalipun wanita itu menutupi aurat dan perhiasannya.

Seseorang yang serumah dengan yang bukan muhrim tidak dapat mengubah ketentuan tersebut. Baginya tetap berlaku dan tidak dapat menjadi halal di atas dasar serumah, baik sudah menjadi akrab atau kerana telah merasakan sebagai anak sendiri atau keluarga yang sangat dekat. Kaum lelaki berkewajipan menutupi auratnya dan wanita diperintahkan untuk menundukkan pandangannya terhadap lelaki yang bukan muhrim baginya sekalipun lelaki itu menutupi auratnya.

Hiasan dan keindahan yang dimiliki seorang perempuan sangat menyenangkan hatinya apabila dilihat orang. Akan tetapi kesenangan yang hujungnya ke arah neraka adalah satu kebinasaan. Oleh kerana itu menutup hiasan diri adalah satu jihad, satu ibadah yang banyak godaan dan sangat berat untuk dilaksanakan. Perintah menutup perhiasan atau ziinah itu yang sebenarnya adalah satu rahmat, tanda kasih sayang Allah kepada manusia dan penjagaan dari tertipu dengan godaan syaitan.


ihsan : akh hafiz./krew TnK


0 comments:

Post a Comment