Sunday, August 30, 2009

Ummu ‘Umarah rha

Ummu ‘Umarah rha atau dikenali juga sebagai Ummu Sulaim rha. telah dirahmati dengan berbagai kehormatan, diantaranya adalah kehadiran beliau di Uhud, al-Hudaibiyyah, Khaibar, Hunain dan Peperangan Yamamah.


Namun peranan beliau yang paling mulia adalah ketika Peperangan Uhud.
Ummu ‘Umarah rha telah menyertai peperangan tersebut bersama suaminya, Ghaziya, berserta dua orang anak lelaki beliau.


Tugas yang dipertanggungjawabkan ke atas beliau adalah untuk memberi air kepada para Mujahid yang cedera. Akan tetapi Allah SWT telah menetapkan satu peranan yang lebih besar dan mulia untuk beliau. Maka beliau pun mengatur langkah bersama-sama dengan keluarga beliau dengan sebuah Qirbah (tempat air terbuat dari kulit kambing) untuk mengisi air.


Mereka tiba di medan perang pada awal pagi hari. Pasukan Islam, ketika itu, sedang menguasai peperangan dan beliau telah pergi melihat keadaan Rasulullah SAW. Pada masa yang sama sebilangan pasukan Islam telah membuat satu kesilapan yang teramat besar - melihat pasukan Quraish mundur, mereka mulai berlari-berkejaran mendapatkan harta-benda rampasan perang, melanggar perintah Rasulullah SAW supaya tetap di posisi mereka di atas bukit.


Khalib bin Walid, (yang ketika itu belum lagi memeluk Islam), apabila melihat benteng pertahanan yang telah terbuka itu kemudian memimpin serangan balasan ke atas pasukan Islam. Kemenangan peperangan beralih kepada pihak Quraish.


Dalam suasana kalam kabut itu, banyak dari kalangan pasukan Islam panik dan mundur, meninggalkan Rasulullah SAW bersama-sama sekumpulan kecil para Sahabat ra . Di kalangan mereka ini termasuklah Ummu ‘Umarah rha.


Melihat ramai dari kalangan pasukan Islam yang mundur, Ummu ‘Umarah rha kemudian berlari ke arah Rasulullah SAW dan mengangkat senjata demi mempertahankan baginda SAW, bersama-sama dengan suami dan kedua anak lelakinya. Rasulullah SAW menyedari yang Ummu ‘Umarah rha tidak mempunyai perisai kemudian baginda SAW memerintahkan kepada salah seorang daripada mereka yang sedang berundur supaya memberikan perisainya kepada Ummu ‘Umarah rha yang sedang bertarung.


Setelah mendapat perisai tersebut, Ummu ‘Umarah rha mempertahankan Rasulullah SAW menggunakan busur, anak panah dan juga pedang. Ummu ‘Umarah rha diserang oleh pasukan berkuda tetapi beliau tidak sekalipun gentar atau merasa takut. Beliau kemudian telah berkata,

"Apabila mereka itu tidak berkuda seperti kami, nescaya telah kami hancurkan mereka, insya-Allah."


Abdullah ibn Zayed, anak lelaki beliau, telah mengalami cedera ketika peperangan tersebut. Lukanya itu berdarah banyak sekali. Ibunya berlari kepadanya dan membalut lukanya itu.
Kemudian Ummu ‘Umarah rha memerintahkan anak lelakinya itu, "Majulah dan perangi mereka, anakku!"


Rasulullah SAW mengagumi semangat pengorbanan beliau dan telah memuji beliau, "Siapakah yang dapat menanggung apa yang kamu mampu tanggung, Ummu ‘Umarah!"


Tiba-tiba lelaki yang telah melukai anak lelakinya mendekati dan Rasulullah SAW berkata kepada beliau bahwa inilah lelaki yang melukai anaknya.


Ummu ‘Umarah rha dengan berani menentang lelaki tersebut, yang menurut anak Ummu ‘Umarah rha sendiri, adalah seperti pohon perdu yang besar. Ummu ‘Umarah rha melukai kaki musuhnya itu, menjatuhkannya sehingga berlutut.


R
asulullah SAW tersenyum sehingga menampakkan gigi baginda SAW dan berkata, "Kamu telah membalasnya, Ummu ‘Umarah!"


Setelah lelaki tersebut dibunuh, Rasulullah SAW kemudian berkata "Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan kamu kemenangan dan menggembirakan kamu atas musuh kamu dan mengizinkan kamu dapat menuntut balas."


Pada satu ketika, Rasulullah SAW telah tertinggal seorang diri. Melihat peluang keemasan itu, pihak musuh, Ibn Qumay’a segera menyerang Rasulullah SAW sambil menjerit "Tunjukkan Muhammad padaku! Aku takkan selamat sekiranya dia diselamatkan!".


Kemudian Mus’ab ibn ‘Umayr ra, bersama-sama dengan beberapa orang sahabat yang lain, bergegas mempertahankan Rasulullah SAW. Ummu ‘Umarah rha yang turut bersama-sama dengan mereka terus menebas musuh Allah SWT itu, walaupun dia memakai dua lapis baju besi.


Ibn Qumay’a berjaya melukai bahagian leher Ummu ‘Umarah rha, dan meninggalkan luka yang parah. Rasulullah SAW terus memanggil anak lelaki Ummu ‘Umarah rha, memerintahkannya membalut luka ibunya sambil mendoakan kerahmatan dan kesejahteraan ke atas mereka dan menyatakan kemuliaan mereka.


Ummu ‘Umarah rha, bila menyedari Rasulullah SAW menyukai kesungguhan dan keberanian beliau, kemudian meminta Rasulullah SAW supaya berdoa agar mereka dijadikan Allah SWT di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW di syurga nanti.


Setelah Rasulullah SAW berdoa, Ummu ‘Umarah rha kemudian berkata, "Aku tidak pedulikan apa saja yang menimpaku di dunia ini!"


Pada hari tersebut, Ummu ‘Umarah rha menerima tiga belas luka dan luka di lehernya yang terpaksa dirawat selama setahun. Beliau kemudiannya juga menyertai Peperangan Yamamah, di mana beliau menerima sebelas luka dan kehilangan tangan.


Keberanian Ummu ‘Umarah rha menyebabkan semua para Sahabat ra menghormati beliau, terutama para Khalifah yang akan mengunjungi beliau dan senantiasa memperhatikan keadaan beliau.


Umar ibn Khattab ra telah menerima kain-kain sutera yang sangat bagus buatannya. Salah seorang yang berada di situ berkata bahawa kain tersebut sangat mahal dan Umar ra sebaiknya memberikannya kepada isteri Abdullah ibn Umar ra, Safiyya bint Abu ‘Ubayd.


Umar ra walaubagaimanapun tidak mahu memberikan kain tersebut kepada menantunya. "Ini adalah sesuatu yang tidak akan kuberikan kepada ibn Umar. Aku akan berikan kepada seseorang yang lebih berhak keatasnya - Ummu ‘Umarah Nusayba bint Ka’b rha."


Umar ra kemudian menceritakan bagaimana ketika Peperangan Uhud, beliau mendengar Rasulullah SAW berkata bahawa apabila baginda SAW melihat ke kiri mahupun ke kanan, baginda melihat Ummu ‘Umarah rha sedang bertarung di hadapan baginda SAW.


Inilah kehidupan Ummu ‘Umarah rha, pejuang yang tetap berdiri apabila ramai yang mundur, yang menyuruh anaknya yang cedera parah kembali menyertai peperangan yang sengit, dan yang siap menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan Rasulullah SAW.


Sebagai balasan, beliau menerima doa agar dijadikan di kalangan sahabat Rasulullah SAW di syurga.


Moga Allah SWT merahmati para Muslimah kita dengan keberanian, semangat pengorbanan dan istiqamah yang sedemikian.



//Artikel ini telah dipublikasikan dalam majalah Nida’ul Islam, Februari 1998. Hamzah Qassim

Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadhan....



SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA .




SEMOGA SENTIASA DILIMPAHI RAHMAT DAN HIDAYAH-NYA .





Sunday, August 16, 2009

Istimewanya WANITA


" Wanita yang memerah susu binatang dengan membaca "Bismillah", akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan."


" Wanita yang menguli tepung gandum dengan membaca "Bismillah", Allah SWT akan berkatkan rezekinya."


" Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah"


" Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah SWT akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, di mana jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi."


" Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah SWT akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat."


" Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang yang dibuatnya, Allah SWT telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas takhta di Hari Akhirat."


" Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan dibuatnya pakaian untuk anak-anaknya, maka Allah SWT akan mencatatkan baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian."


" Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah SWT akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya."


Sabda Nabi S.A.W:

"Ya Fatimah, barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah SWT baginya Sakaratul Maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman Syurga dan dicatatkan Allah SWT baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat."



@>->--

Thursday, August 6, 2009

Kegagahan Seorang Wanita.......


Kegagahan seorang wanita bukan pada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan.


Perempuan yang gagah, adalah :-


1- Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
2- Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
3- Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
4- Perempuan yang tidak meminta agar dipenuhi segala keinginan.


Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman.


Seluruh kegagahan yang ada pada KHADIJAH adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.



“Jika engkau perlukan nikmat dunia,
cukuplah Islam sebagai nikmat untukmu,
Jika engkau ingin menjadi asyik,
cukuplah ketaatan itu sebagai keasyikanmu,
dan jika engkau mahukan pengajaran,
cukuplah maut sebagai pengajaranmu..."




@>-->---

Wednesday, July 29, 2009

INDAH WANITA


INDAH WANITA


Wanita
indahmu secerah pawana
seri seteguh intan
selembut sutera
sedingin salju
menyejuk ammarah.

Wanita
dirimu bak mutiara
andai maruah dibelai
nafsu ditunduk
menangkis cela
teguh memagar laman
mewangi kelopak semerbak kasturi
mengundang kumbang sejati
terbina singgahsana iman
dihias mahligai taqwa
menggapai reda
Pemilik Agung Insani.



( Azzahra Safiah
Macang, Kelantan, 05.12.2004
)



Dipetik daripada SERIKANDI’05 FIRST EDITION
~Kerana dirimu begitu berharga~




Friday, July 17, 2009

6 pesanan buat muslimat


1.
Jaga solat pada awal waktu. Kalau datang haid sekalipun jika tidak dapat solat, kena duduk atas tikar sembahyang supaya anak tidak lihat kita meninggalkan solat.


2. Hidupkan Bacaan Hadis Nabi SAW di rumah dengan keluarga. Dianjur baca Hadis Fadhilat Amal. Ini amalan sahabiah zaman Nabi SAW sehingga dari rumah kita keluar anak-anak yg soleh yang mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa dunia akhirat.


3. Baca Al Quran setiap hari walaupun hanya 8 ayat. Kalau tak mampu nak baca kerana terlalu sibuk, cukup dengan mencium Al Quran dan muhasabah '’Ya Allah, apa dosa saya hingga saya tak dapat nak baca kitab Mu pada hari ini."


4. Mendidik anak secara Islam. Mengajar anak-anak dari kecil bermula dengan doa-doa masnun. Iaitu doa seharian Nabi SAW seperti doa tidur, bangun tidur, makan dan sebagainya.


5. Hidup sederhana dengan tidak membebankan suami. Setiap hari malaikat akan menghantar 500 jambangan bunga dari syurga untuk wanita yang hidup sederhana. Setiap titisan air masakan dan basuhan mereka akan menjadi zikir mohon keampunan kepada Allah SWT atas wanita tersebut.


6. Galak suami untuk bermujahadah atas Agama Allah. Seorang isteri yang menggalakan suaminya untuk solat berjemaah di Masjid atau Surau akan dapat pahala berjemaah suaminya termasuk solat dia sendiri.


@>-->---

Monday, July 6, 2009

UMAYAH Srikandi Muda Yang Matang

Merasai kemanisan nikmat Islam dalam usia yang masih terlalu muda, dianggap sebagai salah satu anugerah yang tidak ternilai. Walaupun suasana awal kedatangan Islam sangat tidak menyebelahi orang Islam, namun keimanan dan keyakinan yang mantap menyebabkan mereka tidak gentar dengan segala dugaan itu. Sekali lagi, umur bukan halangan dalam memastikan keimanan seseorang.

Demikianlah yang dirasakan oleh Umayah binti Qais al-Ghifariyyah, yang baru berusia 14 tahun ketika sinar Islam menusuk masuk ke hatinya. Gadis dari kabilah Abu Zar al-Ghifari ini tidak mengenal gentar atau takut. Dia sanggup merentasi perjalanan jauh semata-mata untuk bertemu Rasulullah SAW dan menyampaikan syahadah kepada Baginda.

Dalam usia 14 tahun, Umayah telah memimpin kaum wanita daripada kabilah Ghifar untuk mengikuti Rasulullah SAW di medan perang Khaibar. Dia menemui Rasulullah SAW dan meminta izin untuk menyertai peperangan tersebut. Kerana kagum dengan keberanian gadis ini dan memandangkan usia yang ibarat anak kepada Rasulullah SAW, Baginda lantas mengajak Umayah untuk menaiki untanya. Itu juga merupakan satu penghargaan kepada Umayah dan menunjukkan bahawa peranannya sama sekali tidak dipandang rendah oleh utusan Allah itu.


MENAWARKAN BANTUAN
Kisah Umayah ada diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam, yang meriwayatkannya daripada Sulaimen in Suhaim, manakala Sulaimen meriwayatkannya daripada Umayah bin Abis-Shilt, dan Umayah Abis-Shilt pula meriwayatkannya daripada Umayah sendiri.

Umayah menceritakan bahawa dia mengetuai sekumpulan wanita suku kaumnya, meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk bersama-sama Baginda dalam peperangan Khaibar.

Wanita-wanita ini menawarkan bantuan kepada Rasulullah SAW untuk membantu merawat orang atau askar yang tercedera. Di samping itu mereka juga menawarkan bantuan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka sebagai seorang wanita. Mereka antara para jururawat yang turut serta dalam perjuangan Rasulullah SAW. Penglibatan kaum wanita dalam peperangan seumpama ini sememangnya dialu-alukan oleh Rasulullah SAW kerana secara tidak langsung pembabitan wanita akan menaikkan semangat lelaki untuk berjuang.

“ Dengan berkat Allah SWT, berangkatlah ! ” Demikian kebenaran yang diberikan Rasulullah SAW. Kumpulan ini keluar bersama rombongan Rasulullah SAW dan kata Umayah, disebabkan dia masih remaja, maka Rasulullah SAW meminta dia menaiki unta Baginda. Dalam perjalanan itulah, Umayah mengalami haid yang pertama yang menandakan gadis ini sedang menuju usia dewasa. Suatu pagi ketika dia turun dari unta yang ditunggangi, dia terlihat kesan darah pada kenderaannya. Serta merta gadis ini terasa malu yang teramat sangat dan berusaha menutup kesan darah itu.


URUSKAN DIRI DENGAN BAIK
Rasulullah SAW yang baru bangun dari tidur ketika itu tersedar akan perubahan Umayah. Baginda juga dengan pantas dapat menduga keadaan gadis itu. Baginda kemudian bersabda kepada Umayah, “ Uruskanlah dirimu dengan baik. Kemudian ambil bekas air dan masukkanlah garam. Selepas itu gunakannya untuk mencuci darah yang berada atas kenderaan itu dan naiklah semula ke atas kenderaanmu. ”

Pesanan Rasulullah SAW itu juga boleh dianggap sebagai pesanan kepada seluruh golongan wanita. Ini kerana hal-hal berkaitan perkara kewanitaan seperti ini biasanya diucapkan secara simbolik kepada wanita yang wanita mengalaminya dan hal itu akan disampaikan kepada wanita lain sebagai sebahagian daripada inti pengajaran Rasulullah SAW.

Demikianlah ilmu itu berkembang dan diperluaskan kepada generasi demi generasi.
Umayah juga dikatakan sangat patuh mengamalkan ajaran Rasulullah SAW itu. Setiap kali bersuci daripada haid, dia menggunakan garam sebagai campuran air. Malah dia turut meninggalkan wasiat, apabila dia meninggal dunia, dia mahu jenazahnya dimandikan dengan air yang dicampurkan garam.

Selain itu, wanita ini juga menceritakan, selepas kejayaan Rasulullah SAW menakluki Khaibar, Baginda telah membahagi-bahagikan harta rampasan kepada semua orang Islam yang terlibat dalam peperangan itu. Antaranya seutas kalung yang dikenakan sendiri oleh Rasulullah SAW ke leher Umayah. Kalung itulah yang dipakai oleh Umayah sehingga akhir hayatnya. Kalung itu mungkin tidak semahal mana, tetapi disebabkan itu kalung pemberian Rasulullah SAW, Umayah sangat menghargainya. Dia turut berpesan agar kalung itu juga dikebumikan bersamanya jika dia meninggal dunia.

Demikianlah perjuangan yang dilalui Umayah. Nyata daya pemikirannya tidak setanding usianya yang masih muda. Keberaniannya mengagumkan. Walaupun kisahnya tidak banyak diungkap dalam lewat catatan sejarah, tetapi nama Umayah tetap terpahat sebagai seorang srikandi muda dalam sejarah awal kebangkitan Islam.


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


INFO ISLAM
Peperangan Khaibar berlaku pada penghujung Muharam tahun ke-7 Hijrah, di satu tempat bernama Khaibar, yang terletak sekitar 80 sehingga 100 batu ke utara Madinah.
Khaibar merupakan petempatan yang diduduki oleh orang Yahudi. Peperangan itu meletus kerana puak Yahudi memungkiri perjanjian Hudaibiah yang telah dipersetujui sebelumnya.

Dalam perjanjian itu, dua daripada tiga puak yang bersetuju untuk berdamai, iaitu Yahudi dan Kabilah an-Najdi, telah memungkiri janji. Puak Yahudi yang berkubu di Khaibar juga pernah bersatu dengan musuh Islam yang lain dalam menyerang tentera Islam semasa peperangan Ahzab. Mereka juga merupakan penghasut yang menanamkan sikap permusuhan di kalangan Bani Quraizah dalam menentang Islam. Mereka malah menjadikan orang tengah yang berhubung dengan kaum dengan kaum munafik dalam membuat kacau terhadap kerajaan Islam Madinah.

Puak Yahudi di Khaibar mempunyai kubu yang kukuh dan memiliki lebih kurang 10,000 tentera serta kelengkapan senjata. Oleh itu, Rasulullah SAW mengambil tindakan segera dengan mengumpulkan bala tentera Islam seramai 1,600 orang dengan 200 tentera berkuda serta mereka yang berpengalaman dalam Hudaibiah sebelum ini.

Sebelum itu Rasulullah SAW telah mengarahkan agar hanya mereka yang benar-benar ingin dan bersedia untuk keluar berperang sahaja yang turut serta dalam peperangan ini. Ini merupakan satu strategi awal yang penting dalam menjamin sebarang kemungkinan buruk yang bakal berlaku jika mereka yang tidak bersedia untuk berperang turut keluar bersama mereka dalam peperangan ini.




note: satu pesanan yg amat2 berguna buat muslimah2 di luar sana.

@>->---